KEDUTAAN IRELAND SEDIA BANTU ASPEK DOKUMENTASI

Jumaat, 16 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat  
Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol dan Muhamad Syawal Saleh

1/3

SEREMBAN: "Mereka (pihak kedutaan Ireland) memaklumkan bahawa apa-apa dokumentasi akan dimudahkan untuk bawa balik mayatnya (Nora Anne Quoirin) ke luar negara daripada Malaysia," ujar Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas mengenai persediaan yang dibuat oleh pihak kedutaan negara berkenaan, membabitkan urusan membawa pulang mayat remaja berusia 15 tahun itu ke Ireland.

Sementara itu, Wan Azizah turut menyatakan rasa puas hati dengan segala usaha yang telah dilaksanakan agensi terlibat sepanjang tempoh pencarian bagi mengesan kedudukan mendiang Nora.

"Namun sangat menyedihkan kerana mereka (pasukan pencari dan menyelamat) menemui mangsa dalam keadaan tak bernyawa.

"Sekarang saya serahkan siasatan selanjutnya kepada pihak polis dan insiden ini boleh jadi pengajaran kepada kita berhubung kes kehilangan (orang yang) lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat berhubung penemuan mayat mendiang Nora, yang diadakan di Balai Polis Pantai, di sini, hari ini.

NS Daily melaporkan semalam, hasil bedah siasat mendapati bahawa tempoh kematian remaja itu dianggarkan dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato' Mohamad Mat Yusop, juga tiada kesan atau tanda menunjukkan mendiang dirogol berikutan selaput daranya masih dalam keadaan baik.

Sebaliknya kata beliau, punca sebenar kematian disebabkan oleh kebocoran pada usus yang mungkin disebabkan faktor kebuluran serta mengalami tekanan dalam tempoh yang panjang.