PENGUSAHA TERNAKAN AYAM DIBERI TEMPOH ENAM BULAN TAMBAHAN

Jumaat, 16 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Mohd Zamzuri Daud

1/2

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi tempoh tambahan selama enam bulan kepada pengusaha ternakan ayam untuk membuat permohonan kebenaran merancang.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu diambil kerana didapati masih terdapat kemasukan permohonan walaupun tempoh ditetapkan sudah pun berakhir.

"Kita sedia maklum bahawa (pada) 30 Jun, sebenarnya dah tamat tempoh. Namun masih ada lagi permohonan-permohonan yang masuk selepas itu.

"Jadi kita dah setuju untuk sambung lagi enam bulan sehingga 31 Disember. (Sebab) kita ingin lihat bahawa keperluan (tanggungjawab) untuk Kerajaan Negeri pastikan industri ternakan ayam ini tidak terencat. 

"(Berikutan) ini (antara) industri penting iaitu yang utama kepada kerajaan negara kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.

Menurutnya, pengusaha-pengusaha perlu menggunakan tempoh tersebut dengan baik.

Selain itu, kata Aminuddin, mereka juga perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan bagi memastikan masalah terdahulu seperti pencemaran bau, masalah lalat dan lain-lain tidak berlaku lagi.

Justeru, pihaknya mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan terhadap pengusaha yang ingkar sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada masyarakat.

"Kita nak mereka benar-benar patuhi syarat dan pengurusan yang cemerlang di kawasan ladang mereka, supaya masyarakat sekeliling tak hadapi masalah. Jika mereka terus ingkar, kita akan tutup reban-reban mereka.

"Jadi kita harap mereka mematuhi, kalau mereka mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh jabatan, saya yakin masalah kacau ganggu tak akan berlaku," katanya.

Aminuddin berkata, sekiranya pengusaha berkenaan tidak mengikuti peraturan dengan betul, masalah tetap akan berlaku walaupun mereka menggunakan sistem tertutup.

 

"Kita harap ada rasa tanggungjawab dalam kalangan pengusaha untuk pastikan ladang-ladang mereka dijaga dengan baik," katanya.