PENGANJURAN MANTAI PERDANA DI SETIAP DAERAH

Khamis, 16 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH

1/2

SEREMBAN : Program Mantai Perdana akan diteruskan seperti biasa seperti tahun sebelumnya, namun dengan menampilkan sedikit kelainan pada edisi kali ini. 

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata mulai tahun ini, penganjurannya tidak lagi tertumpu di satu lokasi sahaja seperti kebiasaannya iaitu di Paroi.   

"Pada dasarnya Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan program Mantai Perdana, yang mana kali ini (penganjurannya) akan terus berada di kawasan masing-masing di setiap daerah.

"Ada daerah khususnya di Seremban, kita telah tetapkan kepada empat kawasan (yang terpilih sebagai tapak penganjuran). Jadi kita tak nak lagi mereka hanya tertumpu dalam satu kawasan," katanya.

Menurutnya, pendekatan sebegitu bakal memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke program berkenaan bagi mendapatkan barang keperluan sempena Aidilfitri.

"Kita akan perincikan (perkara ini) dan akhirnya (nanti) berikan kepada wartawan untuk butirannya, insya-Allah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini.

Turut hadir adalah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Tuan Haji Bakri Sawir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Razali Ab Malik serta Pegawai Kewangan Negeri, YB Mohd Khidir Majid.

Untuk rekod, program Mantai Perdana yang dianjurkan sejak 2008 bertujuan membantu orang ramai untuk mendapatkan bahan mentah pada harga berpatutan.

Sebanyak 213 ekor lembu telah disediakan pada edisi tahun lepas, di mana jumlah itu melibatkan lebih 70 tan daging.

Harga ditawarkan pula jauh lebih murah berbanding pasaran iaitu hanya RM27 sekilogram bagi daging lembu, manakala RM34 bagi sekilogram daging kerbau.

Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan turut membuat beberapa penambahbaikan, antaranya menyediakan lorong khas untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas membeli barang.