PERTUKARAN STATUS PEMILIKAN DIJANGKA TAHUN INI

Ahad, 16 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Mohd Zamzuri Daud

1/5

SEREMBAN: Pemberian hak milik kekal kepada tanah perumahan yang berstatus pajakan sepertimana dijanjikan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dijangka dilaksanakan mulai tahun ini. 

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata bagi peringkat awal, proses pertukaran status itu bakal dilaksanakan secara berperingkat dengan melibatkan beberapa taman perumahan terlebih dahulu.

"Insya-Allah (perkara) ini dalam proses dan minggu ini kita akan finalize (muktamadkan) dalam pertemuan dengan semua ketua jabatan, termasuk PTG (Pejabat Tanah dan Galian) yang menjadi sekretariat.

"Kita juga sentiasa berhubung (dengan jabatan-jabatan berkaitan) untuk memastikan pelaksanaannya dapat dibuat secepat mungkin. Jangkaannya tahun ini kita cuba untuk beberapa taman perumahan, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengikuti program AEON Charity Run & Ride 2019 di pekarangan AEON Mall, Nilai, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik; ADUN Nilai, YB J Arul Kumar dan Pengarah AEON Credit Service (M) Berhad, Datin Yasmin Merican.

Julai tahun lalu media melaporkan, pertukaran status berkenaan hanya terbuka kepada pemilik rumah di negeri ini yang bertapak sebelum PRU14.

 

Menurut Aminuddin pada ketika itu, proses tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat, namun apa yang pasti dalam tempoh lima tahun ini.