PEJABAT IMIGRESEN JEMPOL DIJANGKA SIAP HUJUNG TAHUN INI

Selasa, 16 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Wartawan Lokasi: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Muhammad Faiz Limat

1/4

JEMPOL: Pejabat Imigresen bagi daerah Jempol yang masih dalam proses pembinaan, dijangka siap pada hujung tahun ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, projek berkenaan kini dalam fasa pelaksanaan kerja sivil.

"Kerja sivil kita dah bermula. Selepas ini, kerja elektrik dan mekanikal akan menyusul.

"Jadi insya-Allah, kalau dapat dalam hujung tahun ini kita siapkan bangunan tersebut.

"Sebab kita nak beri kemudahan yang terbaik pada masyarakat," katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, di sini, tempoh hari.

NS Daily difahamkan, bangunan yang bakal diubah suai sebagai Pejabat Imigresen itu pada asalnya berfungsi sebagai kediaman Penolong Pegawai Daerah Jempol.

Menurut Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jempol, Rosdi Abu Bakar, kediaman terbabit telah dipindah milik sebagai bangunan persekutuan.

"Kerja baik pulih keseluruhan menelan kos RM404,843 yang merangkumi tiga aspek iaitu kerja sivil; kerja elektrik dan kerja mekanikal.

"Ini turut melibatkan pembinaan bangunan tambahan bagi ruang menunggu dan satu blok tandas awam, termasuk tangki air berkapasiti 500 gelen," katanya.