1,809 PERAJURIT MUDA TENTERA DARAT TAMAT LATIHAN

Ahad, 16 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Foto: Facebook Tentera Darat Malaysia

1/4

PORT DICKSON: Seramai 1,809 perajurit muda menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Malaysia Lelaki Siri 190/19.

Majlis disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Panglima Haji Ahmad Hasbullah Haji Mohd Nawawi itu berlangsung di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini, semalam.

Kesemua perajurit muda lelaki berkenaan berjaya menamatkan latihan yang dilaksanakan selama enam bulan, bermula 2 Ogos 2019 sehingga 15 Februari 2020.

Latihan itu diadakan bagi melahirkan perajurit muda yang berkeyakinan diri; berketerampilan; berdisiplin serta kompeten untuk mencapai kualiti sumber manusia yang terbaik sesuai dengan kehendak Tentera Darat Malaysia (TDM).

Dalam majlis berkenaan, beberapa anugerah kecemerlangan turut disampaikan iaitu Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik yang dirangkul Muhammad Alif Najmi Rabiul Shawal, 19, dari Machang, Kelantan.

Anugerah Perajurit Muda Akademik Terbaik pula dianugerahkan kepada Raymont Anak Ma, 20, berasal dari Sibu, Sarawak.

Sementara itu, Anugerah Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik diterima oleh Mohammad Haizan Idris, 19, dari Pontian, Johor manakala Anugerah Perajurit Muda Kawad Terbaik diraih Muhammad Ridzuan Maula Mohd Rezal, 19, dari Segamat, Johor.

Shahirul Hafizal Mohamad, 20, dari Tuaran, Sabah telah merangkul Anugerah Perajurit Muda Penembak Terbaik manakala Kompeni Terbaik bagi siri kali ini dianugerahkan kepada Kompeni India.