200 MURID TERIMA BANTUAN KELENGKAPAN SEKOLAH

Oleh: Mohd Amin Jalil         Ahad, 16 Disember 2018 

SEREMBAN: Seramai 200 murid daripada keluarga berpendapatan rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Ampangan dan Labu menerima bantuan kelengkapan pakaian sekolah, beg dan alat tulis sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Program Kembali Ke Sekolah 2019.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Sikamat, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Ahli EXCO, Tuan Haji Ismail Ahmad serta Pengurus Besar TNB Negeri Sembilan, Wan Ishak Soed.


Ketika ditemui selepas itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha TNB yang menyalurkan

sumbangan seperti itu berikutan dapat meringankan beban ibu bapa menyediakan peralatan untuk sesi persekolahan baharu 2019.

"Kerajaan negeri menghargai peranan dimainkan oleh sektor swasta di negeri ini yang tampil dengan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

"Saya harap lebih banyak sektor korporat lain dapat mengikut jejak langkah TNB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti ini bagi meringankan beban mereka," katanya.

Sementara itu, Wan Ishak berkata, penerima merupakan dalam kalangan ahli keluarga asnaf dan golongan miskin tegar di bawah B40.

“Setiap penerima diberi kelengkapan persekolahan bernilai RM200, membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000 yang disediakan oleh TNB,” katanya.

1/4