MB BANGGA SUMBANGAN USIM

Oleh: Mohd Amin Jalil         Ahad, 16 Disember 2018 

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan berbangga atas sumbangan besar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam menjayakan beberapa program kemasyarakatan dan kesukarelawan sepanjang tahun ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, tiga program utama yang dijayakan penuntut Universiti Awam (UA) itu adalah Projek Jelajah Sukarelawan, Globas Islamic Students Outreach (GISO) dan Program Cemerlang Akademik Terpuji (PROCAST).

"Kesungguhan penuntut USIM dalam menjayakan program berkenaan sangat berkesan dan memberi impak yang besar kepada kemajuan dan kepentingan masyarakat negeri ini.


"Sehubungan itu, kerajaan negeri berbesar hati

menyumbang sebanyak RM250,000 untuk diagihkan bagi meneruskan tiga projek berkenaan pada masa depan.

"Saya harap dengan bantuan kewangan ini, USIM dapat memastikan projek terbabit dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada USIM dalam membantu dan menjayakan pembangunan di negeri ini," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri dan Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Anak Negeri Sembilan dan Perwakilan Pelajar di USIM, petang semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Cancelor USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri.

Beliau turut menasihatkan kepada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) supaya menjalankan amanah yang disandang dengan jujur dan baik.

"Menjadi pemimpin bukan hanya cukup sekadar pandai berkata-kata, tetapi hendaklah mampu membawa perubahan yang diperkatakan.

"Apa pun, saya ucapkan tahniah atas pemilihan anda sebagai pemimpin pelajar USIM," katanya.

1/5