NEGERI SEMBILAN, MELAKA METERAI PERJANJIAN SEMPADAN MARITIM

Selasa, 15 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

PUTRAJAYA: Negeri Sembilan dan Melaka memeterai perjanjian sempadan maritim antara dua negeri itu sejauh tujuh kilometer dari muara Sungai Linggi ke had perairan wilayah negeri iaitu selebar tiga batu nautika.

Negeri Sembilan diwakili oleh Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun manakala Melaka diwakili oleh Ketua Menteri, YB Tuan Haji Adly Zahari.

Majlis menandatangi perjanjian sempadan yang disaksikan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier Jayakumar itu berlangsung di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), di sini, hari ini.

Rundingan dan kerja-kerja penentuan sempatan maritim antara Negeri Sembilan dan Melaka telah bermula pada tahun 2014 yang dibantu oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan KATS sebagai fasilitator dalam hal ehwal persempadanan negeri.

Sempadan maritim antara dua negeri itu berasaskan prinsip sama jarak seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 15, Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 dan had wilayah negeri dalam Seksyen 3, Akta Laut Wilayah 2012.

Penyelesaian sempadan maritim tersebut merupakan aspek penting dititikberatkan oleh Kerajaan Persekutuan kerana penentuan jajaran sempadan yang muktamad membolehkan kerajaan-kerajaan negeri mentadbir dan melaksanakan usaha pembangunan di sekitar perairan negeri dengan lebih teratur.

Pemeteraian perjanjian itu turut mencipta sejarah, di mana sektor sempadan maritim antara Negeri Sembilan dan Melaka merupakan sektor sempadan maritim pertama dimuktamadkan daripada keseluruhan 10 sektor sempadan maritim di Semenanjung Malaysia.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Dato' Seri Hasim Hasan dan Ketua Setiausaha KATS, YB Dato' Zurinah Pawanteh.