KONVENSYEN PEMERKASAAN WANITA, PUPUK KESEDARAN BAHAYA DADAH

Selasa, 15 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah Peringkat Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, konvensyen itu diadakan hasil maklum balas daripada komuniti tentang kurangnya pengetahuan dan kemahiran wanita dalam mengendalikan ahli keluarga yang terjebak dengan dadah.

"Oleh itu, wanita harus ada kemahiran dan pengetahuan yang sepatutnya supaya mereka mampu tangani najis dadah ini.

"Setakat September lepas, jumlah penagih wanita di Negeri Sembilan (adalah) seramai 125 orang daripada 2,252 penagih, iaitu sebanyak 4.8 peratus.

"Mengikut statistik AADK Negeri Sembilan, dadah jenis methamphetamine atau syabu merupakan dadah yang sering digunakan kebanyakan penagih wanita di negeri ini," katanya.

Jelasnya, melalui program tersebut, mereka menyasarkan supaya masyarakat dapat melakukan anjakan paradigma dengan membina persepsi positif dan sejahtera kepada keluarga yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian konvensyen berkenaan yang berlangsung di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah AADK Kebangsaan, Dato' Seri Zulkifli Abdullah; Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME), Profesor Madya Dr Haslinda Abdullah dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr Nazira Haji Sadiron.

Terdahulu dalam majlis itu, Dr Nazira Haji Sadiron dipilih untuk menerima Anugerah Inspirasi Wanita 2019; Puan Maziah Mohammad dipilih untuk Anugerah Wanita Hebat Kekal Pulih manakala Puan Suhailyna Sulaiman menerima Anugerah Sokongan Tiada Penghujung Kepulihan bagi Kategori Keluarga OKP.