100 MASJID DISASAR PUSAT PEMBANGUNAN UMAT TERBAIK 2024

Selasa, 15 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/3

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan 100 masjid sebagai Pusat Pembangunan Umat Terbaik menjelang tahun 2024.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, terdapat tujuh inisiatif yang perlu dicapai bagi merealisasikan sasaran tersebut.

Menurutnya, antara yang perlu diberi keutamaan adalah meningkatkan jumlah mereka yang berjemaah di masjid; pembangunan dakwah dan pendidikan yang berkesan dan menyeluruh serta pembangunan belia dan remaja kariah.

"Selain itu, pembangunan wanita dan keluarga kariah; pembangunan sosial dan kebajikan kariah; pembangunan ekonomi masjid dan ahli kariah serta urus tadbir kewangan dan pengurusan masjid berkualiti turut diberi keutamaan.

"Untuk mencapai sasaran ini, kita harap semua pihak berganding bahu; bekerja dengan penuh rasa kasih sayang kepada umat; ikhlas dan tawakal kepada Allah.

"Jika kita mahu melihat perubahan umat pada masa akan datang, kita harus mula dari sekarang. Jika bukan kita siapa lagi? Jika bukan sekarang bila lagi?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2019 di Klana Resort, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato' Haji Mohd Yusof Haji Ahmad.