PERMOHONAN TUNS DITUTUP PADA 31 OGOS INI

Khamis, 15 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Mohd Zamzuri Daud

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan 31 Ogos ini sebagai tarikh akhir untuk menerima permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS). 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata selepas tarikh tersebut, semakan akan dibuat dan disusuli dengan proses pengagihan kepada usahawan yang layak membabitkan lagi tiga peringkat. 

"Tahun depan kita akan buka semula (permohonan TUNS), insya-Allah. Jadi (kepada usahawan) yang belum hantar (permohonan), bersedia untuk awal tahun depan.

"Kita akan buka (permohonan) seawal mungkin dan untuk tahun ini, kita tutup. (Tujuannya) untuk kita buat penilaian terhadap permohonan-permohonan tersebut," katanya.

Ditanya mengenai jumlah keseluruhan permohonan yang diterima daripada usahawan pula, kata Aminuddin, angka itu hanya akan diketahui selepas 31 Ogos ini.

"Kita terima sehingga 31 Ogos ini, baru tahu berapa jumlahnya. Sebab kita sasarkan lebih kurang 1,000 penerima awal.

"Tahun depan pun (jumlahnya) lebih kurang begitu. (Tapi) kita tengok macam mana sambutan dan keperluan usahawan-usahawan kecil, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir adalah beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Tuan Teo Kok Seong; YB J Arul Kumar; YB Tuan Haji Bakri Sawir dan YB Puan Nicole Tan Lee Koon.

NS Daily melaporkan pada 3 Ogos lalu, sebanyak 900 permohonan TUNS diterima dan 211 daripadanya telah diluluskan bagi pengagihan peringkat pertama yang melibatkan amaun sebanyak RM623,150.52.