MB BIMBANG KADAR PERCERAIAN ORANG PENCEN

Khamis         15 November 2018          

15 nov 1-1.jpg

SEREMBAN: Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun melahirkan rasa bimbang mengenai kadar perceraian membabitkan masyarakat Islam di negeri itu khususnya dalam kalangan mereka yang lanjut usia, berbanding golongan muda.

Tanpa menyebutkan statistik terperinci mengenainya, beliau berkata, kadar perceraian membabitkan golongan berusia antara 55 hingga 60 tahun dan ke atas menunjukkan trend yang membimbangkan.

"Kita tidak berapa bimbang tentang kadar perceraian membabitkan golongan muda Islam yang baru berkahwin kerana ia menunjukkan peratusan yang rendah.

"Tetapi kita amat khuatir tentang perceraian dalam kalangan mereka yang mula bersara berusia antara 55 hingga 60 tahun dan ke atas.

"Ini fenomena yang tidak sepatutnya berlaku, jika orang muda bercerai mungkin itu adalah perkara biasa tetapi ini babitkan mereka yang hendak pencen dan selepas pencen," katanya kepada media selepas mesyuarat mingguan Exco, di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, semalam.

Aminuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri

berkata, pihaknya tidak mengetahui punca sebenar keadaan itu berlaku.

Namun katanya, perceraian itu jelas boleh memberi kesan tidak baik kepada institusi keluarga sekali gus menimbulkan masalah sosial yang lain.

Beliau berharap keadaan itu dapat dikawal dan tidak bertambah serius berikutan boleh memberi imej kurang baik terhadap masyarakat Islam.

"Saya harap janganlah sampai berlaku perceraian, jagalah keluarga elok-elok. Kita bimbang jika keadaan ini bertambah serius akan memberi kesan tidak baik kepada keluarga dan masyarakat," tegasnya.