PROGRAM C4U BELA NASIB IBU TUNGGAL

Rabu, 15 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Nabilsyafiq MH

SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bantuan sebanyak RM200 kepada golongan ibu tunggal di negeri ini yang berdaftar dengan e-Kasih, melalui inisiatif Care For You (C4U).

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya menyasarkan seramai 4,500 ibu tunggal untuk menerima bantuan berkenaan.

Menurutnya, usaha tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM900,000.

"Sebagai permulaan, seramai 984 ibu tunggal akan menerima bantuan ini pada 20 hari bulan (Mei)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini.

1/4

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon ketika mengulas lanjut mengenai C4U pula berkata, inisiatif itu sepertimana diumumkan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada Disember tahun lepas.

Menurutnya buat masa ini, sesi pemberian bantuan berkenaan terbahagi kepada dua fasa iaitu bulan Mei dan Ogos.

"Bantuan fasa pertama melibatkan 984 orang penerima, manakala 1,513 penerima pada Ogos depan.

"Ini merupakan salah satu langkah kerajaan untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial yang lebih bersepadu, selain membantu meringankan beban kewangan ditanggung ibu tunggal," katanya.

Selain C4U katanya, Kerajaan Negeri turut merencanakan beberapa program lain untuk membela nasib ibu tunggal.

"Kita ada program seperti Power House Wanita Gemilang (PH GEM) untuk memperkasakan wanita dan Tabung Usahawan bagi wanita yang berminat menceburi bidang perniagaan. 

"Semua ini diluluskan dalam masa setahun. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan negeri yang diterajui Menteri Besar kerana pantas merealisasikan janji diberikan sebelum PRU Ke-14," katanya.

Turut hadir adalah Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Razali Ab Malik serta Pegawai Kewangan Negeri, YB Mohd Khidir Majid.