LEBIH 20,000 PENGUNJUNG MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

Sabtu, 15 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Mohd Zamzuri Daud

1/5

SEREMBAN: Lebih 20,000 pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, yang berlangsung pada jam 11 pagi hingga 3 petang tadi.

Turut berkenan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut adalah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Keberangkatan tiba baginda berdua sekitar jam 1.20 petang itu diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Port Dickson, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Hajah Wan Hasni Wan Yusof.

Majlis berkenaan juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat.   

Sehubungan itu, Menteri Besar mewakili Kerajaan Negeri Sembilan selaku tuan rumah, mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.

"Alhamdulillah, kehadiran masyarakat setempat sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan yang diadakan pada hari ini mendapat sambutan amat baik.

"Ini merupakan satu kejayaan, untuk kita sama-sama memastikan negara ini (terus berada) dalam keadaan aman dan (penduduknya) saling hormat-menghormati. 

"Kita juga bersyukur kerana kunjungan daripada semua sahabat (sama ada) dekat dan jauh ke rumah terbuka ini, menggambarkan sokongan mereka terhadap Kerajaan Negeri yang tak berbelah-bahagi," katanya kepada NS Daily, di sini.

Berbeza dengan edisi tahun lalu di Dewan Orang Ramai Sikamat, kata beliau, pemilihan pusat bandar sebagai lokasi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri kali ini lebih memudahkan masyarakat untuk berkunjung.

"Dulu masalah kita (hadapi) adalah lalu lintas, yang menyebabkan kesesakan di Sikamat. Insya-Allah kalau jalan semakin elok dan mudah, mungkin kita akan lihat di  mana-mana lagi tempat untuk mengadakannya.

Tapi tak pasti lagi. Kita (akan) lihat mana (lokasi) yang lebih sesuai untuk rakyat bersama dengan kita," katanya.