SMK SENAWANG 3 KINI DIKENALI SEBAGAI SMK TAMAN FOREST HEIGHTS

Isnin, 15 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/7

SEREMBAN: Pertukaran nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang 3 kepada SMK Taman Forest Heights diharap dapat menyuntik semangat baharu kepada pelajar.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, ini kerana pendidikan dilihat sebagai nadi penting dalam pembangunan bangsa dan negara.

"Harapnya sekolah ini boleh bentuk identiti sendiri dan bersaing dengan sekolah di sekitar Senawang dan Seremban.

"Pihak sekolah kena pastikan anak-anak (pelajar) dapat belajar dalam suasana yang selesa, kerana kecemerlangan mereka adalah kejayaan para guru. 

"(Apa) yang menarik perhatian saya, bila sekolah ini menerima 692 pelajar Tingkatan Enam dan ini jumlah paling ramai di Negeri Sembilan," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memberi komitmen terhadap institusi pendidikan dengan memperkenalkan pelbagai bantuan dan inisiatif khususnya bagi keluarga B40.

Antaranya bantuan kepada pusat tahfiz swasta; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah swasta dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Selain itu katanya, ada juga bantuan tambang bas bulanan sebanyak RM50 bagi setiap pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Bantuan berbentuk 'one-off' seperti dikhususkan untuk anak Felda sebanyak RM100 yang diberikan pada awal persekolahan, turut disediakan.

"Saya harap sekolah ini jadi antara sekolah terbaik di negeri ini.

"Sokongan ibu bapa, masyarakat dan golongan korporat boleh majukan sekolah dalam tempoh terdekat, insya-Allah," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Perasmian SMK Taman Forest Heights, di sini, tempoh hari.

Menteri Besar Negeri Sembilan telah menyumbangkan sebanyak RM45,000 untuk pembangunan sekolah tersebut dan RM5,000 untuk kelab guru.