NEGERI SEMBILAN OPTIMIS TARIK PELABUR DARI CHINA

Isnin, 15 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Wartawan Lokasi: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/5

JEMPOL: Kerajaan Negeri optimis mampu menarik minat pelabur dari China untuk melabur dalam pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) di bahagian Barat Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, keyakinan itu berdasarkan respons diterima ketika sesi forum bersama industri di Beijing sempena lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke negara berkenaan, baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya telah mengambil peluang tersebut bagi mengetengahkan MVV 2.0 melalui kaedah penerangan; dialog dan tayangan klip video pendek.

   

"Kita telah mengadakan forum atau dialog bersama 36 industri, di mana kita telah mempromosikan MVV 2.0.

"Mereka menyatakan bahawa MVV 2.0 ini (berada di) satu lokasi yang baik dan lokasi yang sesuai.

"Kita tawarkan kepada mereka untuk (sektor) industri-industri (melabur), khususnya industri berteknologi tinggi datang ke negara kita," katanya.

Pada masa, kata Aminuddin, pelbagai syarikat telekomunikasi di China turut menunjukkan minat untuk membuat pelaburan membabitkan projek MVV 2.0.

"Banyak juga daripada syarikat telekomunikasi mereka yang cuba berjumpa, untuk berbincang dengan kita (mengenai pelaburan ini)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Pentadbiran Daerah Jempol di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, di sini, tempoh hari.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; YB Puan Nicole Tan Lee Koon dan YB Tuan S Veerapan.