TIADA KENAIKAN KADAR TARIF AIR

Sabtu, 14 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Mohd Zamzuri Daud

1/2

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tetap berpegang kepada pendirian untuk tidak menaikkan kadar tarif air di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) masih mampu menanggung kos pengurusan dan operasi bekalan air buat masa ini.

Menurutnya, syarikat berkenaan juga masih mampu meraih keuntungan walaupun terdapat peningkatan dalam aspek pengurusan dan operasinya.

"Sekiranya Kerajaan Pusat putuskan (kenaikan tarif air), kita (Kerajaan Negeri) akan bincang kaedah-kaedah yang akan digunakan (nanti).

"Tapi buat masa ini, dasar Kerajaan Negeri masih (sama) tak menaikkan tarif air di Negeri Sembilan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.

Pada Ahad lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier Jayakumar berkata, kadar baharu tarif air bagi bagi semua negeri kemungkinan diumumkan hujung tahun ini.

"Setelah Jemaah Menteri setuju dengan kadar baru ini, baru saya umumkan kenaikan bagi setiap negeri. Kemungkinan hujung tahun ini, tapi saya tak boleh janji apa-apa," katanya.

Terdahulu pada 13 Februari tahun ini, Aminuddin memberitahu bahawa tiada kenaikan kadar tarif air dalam tempoh dua tahun akan datang di negeri ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri ini.