KOMITED KEMBALIKAN KEGEMILANGAN SUKAN HOKI

Isnin, 14 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited mahu mengembalikan semula kegemilangan sukan hoki di negeri ini seperti yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun yang juga Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) berkata, pihaknya kini giat menggilap bakat baharu di peringkat sekolah rendah hingga peringkat belia.

"Sejak saya ambil alih persatuan pada tahun lepas, saya mahu kembalikan kegemilangan hoki Negeri Sembilan. (Pada) tahun depan, kita akan masuk Liga Hoki Kebangsaan dan ini permulaan yang kita susun.

"Walaupun kita tahu ini memerlukan kos yang tinggi, kita akan berusaha merealisasikan harapan anak muda negeri ini yang mana suatu ketika dulu Negeri Sembilan antara negeri yang mengeluarkan pemain-pemain kebangsaan.

"Kita sedang gilap (bakat) anak-anak daripada peringkat sekolah rendah; menengah dan belia. Insya-Allah, kita akan dapat pemain berkualiti pada masa akan datang dan menjadi antara pesaing dalam Liga Hoki Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Liga Hoki Negeri Sembilan, Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan di Stadium Hoki Seremban 2, di sini, semalam.

Terdahulu, Kelab Hoki Gemencheh (KHG) menepati ramalan apabila muncul juara selepas menundukkan Tampin Elite 2-0 dalam perlawanan akhir kejohanan itu.

Kemenangan itu membolehkan KHG membawa pulang hadiah trofi dan medal, serta wang tunai RM10,000.

Turut hadir adalah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato' Seri Subahan Kamal dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Dato' Haji Zazali Salehudin.