KERAJAAN NEGERI SEMBILAN UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA NORA

Rabu, 14 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh & Mohd Zamzuri Daud

1/3

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Nora Anne Quoirin dan seluruh rakyat Ireland, atas pemergian remaja berkenaan selepas mayatnya ditemui sekitar jam 1.57 petang semalam.

Remaja berusia 15 tahun itu ditemui sepasukan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat berhampiran kawasan anak sungai, kira-kira 2.5 kilometer dari resort tempat dia menginap.  

 

Menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun, pihaknya turut bersedih dengan kejadian menimpa Nora berikutan mendiang dan keluarganya yang datang ke Negeri Sembilan untuk bercuti telah dianggap sebagai tetamu Kerajaan Negeri.   
 

"Kita harap kejadian sebegini merupakan yang pertama dan terakhir berlaku di Negeri Sembilan (khasnya) dan di Malaysia amnya. Kita harap perkara ini takkan berulang lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Tuan Teo Kok Seong; YB Tuan J Arul Kumar; YB Tuan Haji Bakri Sawir dan YB Puan Nicole Tan Lee Koon.

NS Daily melaporkan sebelum ini, pengecaman dan pengesahan terhadap mayat ditemui berhampiran resort The Dusun Pantai Hill, di sini, semalam, dibuat oleh keluarga mendiang di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

Penemuan itu sekaligus merungkai misteri kehilangan mendiang dari resort berkenaan sejak 4 Ogos lalu, kira-kira jam 8 pagi.