"TERIMA KASIH MENDOAKAN KESIHATAN SAYA"

Rabu          14 November 2018          

14 nov 3-1.jpg

SEREMBAN: Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan khususnya, yang mendoakan kesihatan beliau.

Katanya, keadaan kesihatan beliau bertambah baik selepas menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang, Selangor pada 26 Oktober lalu.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya bertambah baik dan sudah boleh memulakan kerja atas nasihat doktor.

"Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk negeri ini tanpa mengira kaum dan keturunan yang mendoakan saya.

"Ini mesyuarat (EXCO) pertama walaupun sebelum ini ada beberapa mesyuarat membabitkan ketua jabatan yang diadakan dan Insya-Allah minggu depan saya mula kerja secara rasmi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.


Media sebelum ini melaporkan, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri akan bercuti selama dua minggu

sebelum kembali bertugas selepas menjalani pembedahan itu.

Sementara itu, Aminuddin mengucapkan tahniah kepada ahli Exco dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara bersama berjaya menganjurkan Karnival Deepavali 2018.

Beliau berkata, karnival berkenaan berjaya membantu masyarakat menerusi sumbangan dana yang dikutip pada karnival itu dan diserahkan kepada 60 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membabitkan jumlah RM122,000.

"Saya ucapkan tahniah pada jawatankuasa atas kejayaan penganjuran karnival itu dan ia pertama kali dibuat untuk membantu SJKT," katanya.