TIADA KENAIKAN CUKAI

Rabu          14 November 2018          

14 nov 2-1.jpg

SEREMBAN: Tiada kenaikan cukai yang akan berlaku di negeri ini pada bajet kerajaan negeri yang bakal dibentangkan pada pertengahan bulan depan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, sebaliknya kadar cukai sedia ada akan dikekalkan.

Menurutnya, bagaimanapun suatu kadar cukai taksiran baharu mungkin dikenakan kepada pemilik kediaman yang sudah diubah suai.

"Kadar ini bergantung pada keadaan keluasan rumah yang dibuat ubah suai. Ini bukan naikkan cukai taksiran tapi proses biasa, malah tiada denda dikenakan terhadap pemilik rumah yang sudah buat ubah suai sebelum ini.


"Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan

program pemutihan dan berharap ia mendapat kerjasama baik daripada orang ramai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, selepas program pemutihan ini dijalankan, semua urusan ubah suai kediaman perlu mendapat kelulusan PBT bagi mengelak dikenakan denda.

"Kita kena betulkan keadaan (kadar cukai) kerana tidak adil jika ada pemilik yang membuat ubah suai rumah, tetapi kadar cukai itu sama dengan mereka yang tidak buat ubah suai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menyampaikan insentif kepada atlet negeri itu yang meraih pingat pada Sukan Asia, Sukan Para Asian dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

"Mereka yang mendapat pingat emas akan menerima RM4,000 manakala pingat perak RM2,000 dan gangsa RM1,000.

"Atlet Sukan Para SUKMA yang akan bermula 21 November ini juga akan menerima insentif yang sama," katanya.