KHIDMAT BAS PERCUMA, MUDAHKAN RAKYAT

Ahad, 14 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/5

SEREMBAN: Perkhidmatan bas percuma atau dikenali sebagai Khidmat Rakyat NS telah dilancarkan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun pada 22 Mac lalu.

Ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan untuk meringankan beban rakyat, di samping menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Pemandu bas, Gunawhaty, 39, menyifatkan usaha berkenaan sebagai idea yang cukup baik untuk memenuhi keperluan harian rakyat terutamanya golongan warga emas dan berpendapatan rendah.

"Bila bagi (perkhidmatan percuma) macam ni, kita (dapat) tolong orang tua. Saya pun rasa gembira," katanya.

Tambahnya, bas itu sahaja yang membawa penumpang ke dalam kawasan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) setakat ini.

Mengambil kira kawasan hospital yang luas dan berbukit, katanya, kewujudan Khidmat Rakyat NS merupakan satu rahmat lebih-lebih lagi buat warga emas.

Dalam pada itu, NS Daily turut menemu bual beberapa penumpang untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap perkhidmatan tersebut.

Farah Nasuha, 29, berkata, laluan perjalanan bagi bas percuma itu sama sekali dapat memudahkan urusan harian orang ramai.

"Perkhidmatan yang bagus untuk menarik rakyat, (misalnya) nak pergi pasar. Macam warga emas (pula) nak pergi hospital, kira menyenangkanlah.

"(Saya) selalu juga naik bas. Seminggu tu ada juga (hampir) hari-hari naik. Pergi pasar (pun) naik bas percuma.

"Laluan dia (Khidmat Rakyat NS) lain sikit, (sebab kalau dibandingkan) macam bas berbayar (ada) macam-macam laluan dia.

"Kalau yang ni, dia (Khidmat Rakyat NS) pergi ke pasar (besar). (Selain) tu macam Wisma Persekutuan dan Wisma Negeri. Selepas tu, hospital (HTJ).

 

"Boleh menyenangkan rakyat, (kerana) memang tempat keperluan (yang jadi tumpuan) rakyat. Tak perlu hentikanlah bas percuma ni," katanya.

Sementara itu, Maniam Raju, 81, berkata, perkhidmatan berkenaan dapat menjimatkan wang terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

"Uncle (saya) sebulan sekali naik bas, ambil ubat (di HTJ). Dapat jimat duit. Sedangkan kalau bas lain, berbayar.

"Apa-apa yang government (kerajaan) buat baik untuk rakyat, uncle (saya) okey (setuju) saja," katanya.