TUANKU MUHRIZ - PEMIMPIN PERLU BERAMANAH DAN BERMARUAH

Oleh: Mohd Amin Jalil       Isnin, 14 Januari 2019 

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir mahu kepemimpinan Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa bersikap amanah dan bermaruah ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Baginda bertitah, kepemimpinan kerajaan negeri perlu menjalinkan kerjasama penuh harmoni dengan semua jentera pentadbiran kerajaan dari Persekutuan sehingga akar umbi.

"Berikan contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri yang berterusan.

"Kerajaan negeri perlu mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan serba moden untuk kesempurnaan dan kesejahteraan rakyat, selain memperhebatkan usaha bagi menggalakkan pelaburan yang berterusan dari dalam dan luar negara.

“Aspek ini penting bagi mewujudkan peluang kerjaya kepada anak tempatan di negeri ini,” titah baginda

Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Ke-71 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Turut berangkat adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-’Abidin.

Baginda turut menyentuh isu hubungan sosial antara kaum dalam sebuah negara majmuk kerana ia penting dalam membangkitkan semangat serta menghormati amalan dan budaya masing-masing.

Titah Tuanku Muhriz, pemerhatian baginda pada masa ini mendapati tahap hubungan sosial antara kaum amat rendah jika dibandingkan dengan era 30 atau 40 tahun dahulu.

“Dapat dilihat dengan jelas terutama dalam kelab-kelab sosial atau pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan tertentu di mana hanya sesuatu kaum mendominasi keahlian dan jawatankuasa sesebuah persatuan,” titah baginda.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Besar mahu semangat setia kawan antara kaum dipupuk awal kepada generasi muda, disemai melalui aktiviti sukan fizikal dan permainan berasaskan intelek seperti catur dan e-sports serta aktiviti ko-kurikulum.

“Kesefahaman dan sifat saling menghormati antara satu sama lain akan lebih menjamin kententeraman dan masyarakat bersatu-padu. Ingatlah semula cogan kata yang ada pada Jata Negara iaitu Bersekutu Bertambah Mutu,” titah baginda.

1/4