MB - MAJUKAN NEGERI, SEJAHTERAKAN RAKYAT

Oleh: Mohd Amin Jalil       Isnin, 14 Januari 2019 

KUALA PILAH: Pembangunan Negeri Sembilan kini berada pada landasan tepat dan seimbang dengan tumpuan diberikan terhadap usaha mengembangkan ekonomi serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, perkara itu sudah dijelaskan pada pembentangan Belanjawan 2019 Kerajaan Negeri Sembilan yang bersifat inklusif, merentasi sempadan kaum, bangsa, agama dan geografi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia meniti dan memikirkan pembangunan sehingga tahun 2040.

"Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah meneliti perancangan pembangunan negeri bagi memenuhi harapan dan inspirasi rakyat. 

"Pembangunan dirancang secara inklusif dan diberikan nafas baru untuk mensejahterakan rakyat berteraskan dua prinsip utama iaitu kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial.

"Dalam merealisasikan sasaran itu, perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat akan terus diberikan penekanan dan semua rakyat diseru saling menghormati antara satu sama lain serta menjaga sentiviti agama dan budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan tahniah dan taat setia pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir Ke-71, di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Turut berangkat adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta kedua-dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-’Abidin.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof.

Pada istiadat kali ini, beliau mendahului senarai 340 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat dengan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dalam pada itu, Aminudin menegaskan pembangunan modal insan turut diberikan penekanan dalam usaha menyediakan barisan pemimpin pelapis untuk mencorak dan membawa perubahan kepada wajah negeri ini pada masa depan.

"Patik bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan bersama-sama dengan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan berserta  anggota pentadbiran dan rakyat sekalian, akan sentiasa mendoakan Ke Bawah Duli Tuanku agar terus dikurniakan taufik dan hidayah untuk bertakhta di singgahsana sebagai lambang kebesaran dan kebanggaan Negeri Sembilan," katanya.

1/2