MB LANCAR PROJEK PEMBANGUNAN BERTARAF DUNIA MVV 2.0

Oleh: Mohd Amin Jalil         Khamis, 13 Disember 2018 

SEREMBAN: Kawasan pembangunan metropolis bertaraf dunia yang kompetitif, inklusif dan bersih dikenali Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dilancarkan di sini, hari ini.

 

Inisiatif pembangunan awam-swasta itu akan dilaksanakan di kawasan berkeluasan 153,411 hektar tanah merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson.

 

Pembangunan MVV 2.0 berhasrat untuk menyampaikan impak ekonomi kepada Negeri Sembilan dan Malaysia secara keseluruhannya, dengan membawa masuk pelaburan antarabangsa dan tempatan serta mewujudkan puluhan ribu peluang 

pekerjaan dan perniagaan.


Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun, di

Royale Chulan.

 

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Haji Zulkefly Mohamad Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik; EXCO Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Pengerusi Sime Darby Property Berhad, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

 

Majlis itu juga menyaksikan pelancaran serentak Rancangan Pembangunan Komprehensif (CDP) MVV 2.0 dan publisiti bagi pelan tempatan MVV.

 

CDP bagi MVV 2.0 mentakrifkan rancangan pertumbuhan bagi kawasan pembangunan ini, yang juga memberi penumpuan kepada pembangunan pemangkin, faedah ekonomi dan sosial, dan aspirasi kelestarian serta alam sekitar dan pembangunan sosial dalam lingkungan kawasan pembangunan MVV 2.0.

 

Aminuddin juga melancarkan publisiti untuk Pelan Tempatan MVV 2045, yang menetapkan penggunaan zon tanah dan inisiatif pembangunan bagi menggerakkan MVV 2.0 ke hadapan.

 

Pelan itu turut merangkumi rangka tindakan bagi pemeliharaan alam sekitar serta peningkatan aksesibiliti, infrastruktur, kebolehhunian (liveability) dan pembangunan industri dalam wilayah pembangunan MVV 2.0.

 

Menteri Besar berkata, penyediaan rancangan bagi pembangunan MVV 2.0 adalah bersifat inklusif, kerana ia memberi peluang kepada komuniti sekitar untuk memberi pandangan dan idea untuk perancangan keseluruhan kawasan ini.

 

"Rancangan pembangunan juga telah disusun semula untuk memberi penekanan kepada beberapa kluster utama yang mempromosikan pelaburan berteknologi tinggi selaras dengan aspirasi negara.

 

"Projek yang dilaksanakan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan MVV 2.0 selaras dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), yang memberi penekanan kepada segmen industri berteknologi tinggi meliputi industri aeroangkasa," katanya.

 

Sementara itu, Dr Zeti berkata, Sime Darby Property Berhad akan melaksanakan projek ini sebagai pemaju induk, membolehkan syarikat itu memaju dan meningkatkan nilai simpanan tanah di kawasan berkenaan.

 

Beliau berkata, pihaknya akan mengusahakan projek utama yang bakal menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara pada masa hadapan.

 

"Pembinaan taman berteknologi tinggi dan perindustrian di Labu adalah antara enam projek utama yang akan diberi tumpuan menerusi fasa pertama MVV 2.0.

 

"Manakala fasa kedua pula adalah berdasarkan kepada cadangan yang dinyatakan menerusi Rancangan Pembangunan Komprehensif MVV 2.0 yang diumumkan hari ini.

 

“MVV 2.0 bukan sahaja berupaya memberikan kesan yang mapan kepada Negeri Sembilan, malah ia dilihat sebagai penggerak kepada pembangunan negara masa depan,” katanya.

1/5