GRADUAN TVET DIALU-ALUKAN PENUHI PELUANG PEKERJAAN

Jumaat, 13 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/3

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan amat mengalu-alukan graduan Institusi Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) untuk memenuhi peluang pekerjaan di negeri ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pekerja berkemahiran tinggi diperlukan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

"Pengambilan program TVET di institut perindustrian telah meningkat. (Rekod) sebelum ini (sekadar) 40 peratus, hari ini (rekod terkini) telah mencapai hampir 70 peratus.

"Apabila kita (Kerajaan Negeri) sendiri turun padang mengadakan program, ia (akan) mendatangkan satu impak yang baik (sebagai pendedahan lebih dekat)," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihak Kolej Akademik Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) telah mengadakan perjumpaan dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Jelasnya, perjumpaan ini bagi mendapatkan sokongan berikutan KAYNS turut menyediakan program TVET.

"Kita (KAYNS) telah mendapat sumbangan daripada pihak YaPEIM untuk menaja pelajar-pelajar kolej ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pendidikan dan Karnival Kerjaya TVET Kuala Pilah di SMK Senaling, di sini,  tempoh hari.