SEKOLAH TUTUP JIKA BACAAN IPU MELEBIHI 200

Jumaat, 13 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

KUALA PILAH: Tindakan menutup sesi persekolahan akan diambil sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Dato' Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan surat siaran yang mengarahkan sama ada sekolah perlu ditutup atau aktiviti dihadkan mengikut tahap bacaan IPU. 

"Sekiranya IPU capai tahap 150, maka aktiviti di luar bilik darjah tidak dibenarkan. Jadi pelajar hanya boleh berada dalam kelas atau pun di kawasan yang tertutup.

"Selepas bacaan IPU lebih 200, maka sekolah akan ditutup serta-merta. Arahan itu akan dibuat oleh pengetua atau guru besar sekolah dan (kemudian) dimaklumkan kepada PPD dan JPN.

"Jadi sekarang, kita juga pantau dari pejabat melalui pengawai khas di bilik gerakan. Kita (akan) pastikan sebarang laporan daripada pihak kaji cuaca yang dicapai, kita akan maklum (kepada) pihak sekolah," katanya.

Walau bagaimanapun, jelas Pkharuddin, setakat ini masih tiada lagi sekolah di negeri ini yang ditutup ekoran masalah jerebu.

"Kita doakan agar keadaan akan bertambah baik. (Pada masa sama), ibu bapa juga (perlu) beri kerjasama di rumah supaya anak mereka tak terdedah pada keadaan jerebu di luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pendidikan dan Karnival Kerjaya TVET Kuala Pilah di SMK Senaling, di sini, tempoh hari.