BINA SEMULA KUARTERS ROSAK AKIBAT RIBUT

Ahad, 13 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/1

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan akan membantu membina semula kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Kampung Linsum di Rantau yang rosak akibat dilanda ribut, semalam.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, sebanyak empat buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan dan kerja baik pulih akan dibuat secepat mungkin.

"Kita dah kenal pasti rumah yang akan diperbaiki dan insya-Allah (kerja baik pulih) akan bermula pada hari ini.

"Dewan peperiksaan yang terlibat juga dah dimaklumkan oleh pengarah (Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan) dan pihak sekolah sedang menilai sama ada dewan itu boleh digunakan atau tak.
 

"Hari ini mereka akan buat keputusan, sama ada pindahkan dewan kepada bilik darjah atau kelas yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Perasmian Rumah Amal 'Tampal Rumah' Insaf Malaysia di Kampung Orang Asli Kedat, di sini, pagi tadi.

Turut hadir adalah Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB Tuan J Arul Kumar; Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Tuan Haji Ismail Ahmad dan Presiden Insaf Malaysia, Encik Ishak Abdul Kadir.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang semalam, seramai 13 individu daripada empat keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Linsum, berikutan kediaman mereka mengalami kerosakan akibat ribut.