KEKAL PENDIRIAN PINDAHKAN PUSAT KUALITI ALAM

Ahad, 13 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kekal dengan pendirian untuk memindahkan Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd, demi keselamatan penduduk setempat.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, perkara itu selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Dalam manifesto  kita dah nyatakan dengan terang supaya adanya perhatian daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk pindahkan pusat itu.

"Semalam (8 Oktober), kita dah hantar wakil berjumpa dengan YB Menteri (YB Puan Yeo Bee Yin) untuk sampaikan pandangan dan pendapat tentang masalah itu. 

"Menteri pun maklum perkara itu. Cuma kalau kita tutup hari ini, nak buang (sisa bahan kimia) di mana? Takkan nak buang di sungai?

"Kita maklumkan pada Menteri bahawa persiapan ke arah itu mesti dibuat oleh pihak Kerajaan Persekutuan," katanya.

Menurut Aminuddin, permasalahan Pusat Kualiti Alam tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dan memerlukan masa yang panjang selain perancangannya membabitkan peringkat negeri dan persekutuan.

"Kita harus lihat kesan selepas tutup (pusat) itu, siapa yang nak selenggara. Sebab di situ ada simpanan sisa bahan kimia. Jadi perkara itu harus dilihat semula dan diberi perhatian.

"Lesen (operasi mereka pula) baru sambung (oleh) kerajaan terdahulu selama 15 tahun, bermula 2017. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan, insya-Allah," katanya.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri telah mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan Pusat Kualiti Alam bagi membincangkan persiapan sekiranya berlaku kecemasan seperti kejadian kebakaran yang terjadi pada 2 Oktober lalu.

"Kita dah jumpa dengan mereka untuk bincang perkara yang harus diberi keutamaan, khususnya sekolah dan kawasan umum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.