ANWAR MENANG BERGAYA

Sabtu          13 Oktober 2018

13 oct 6-1.jpg

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang bergaya apabila memperoleh majoriti 23,560 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang diumumkan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), sebentar tadi.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendapat sebanyak 31,016 undi untuk menewaskan enam calon lain pada PRK berkenaan.

Jumlah majoriti dicatatkan oleh Anwar juga melebihi apa yang diperoleh bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal sebanyak 17,710 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Anwar menewaskan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi; bekas Menteri Besar

Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan 82 undi.

Calon Bebas lain iaitu Stevie Chan mendapat 337 undi, Lau Seck Yan dengan 214 undi dan Kan Chee Yuen meraih 154 undi.

Pengumuman keputusan PRK Port Dickson dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairy Maamor kira-kira jam 9.20 malam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa jumlah peratusan keluar mengundi direkodkan kali ini sebanyak 58.2 peratus.

Hadir sama pada pengumuman berkenaan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun.

Beberapa pucuk pimpinan PH pusat dan Negeri Sembilan dilihat turut hadir di dewan berkenaan.

Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Isnin ini yang juga merupakan hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen Ke-14 bersidang.