PH YAKIN JUMLAH KELUAR MENGUNDI TERUS MENINGKAT

Sabtu          13 Oktober 2018

13 oct 2-1.jpg

PORT DICKSON: Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yakin peratusan pengundi yang keluar membuang undi akan meningkat selepas merekodkan kira-kira 40 peratus setakat jam 1 petang tadi.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, keyakinan itu bersandarkan keadaan cuaca yang baik berbanding sejak beberapa hari lalu di mana hujan kerap turun di daerah ini.

Katanya, perangkaan itu menunjukkan situasi yang memberangsangkan dan yakin akan meningkat pada sebelah petang sebelum pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang.

"Kita (jentera PH) akan terus berusaha untuk memastikan pengundi keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebelum pusat mengundi ditutup jam 5 petang.


"Usaha juga sudah dibuat oleh Menteri Besar merangkap Pengarah PRK Port Dickson, Tuan Haji Aminuddin Harun supaya majikan industri memberi kebenaran kepada kakitangan mereka keluar mengundi," katanya pada sidang

media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, di PD Waterfront, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus keluar mengundi dalam PRK kali ini daripada keseluruhan 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpuas hati dengan proses pengundian PRK berkenaan berikutan tiada sebarang insiden tidak sihat berlaku.

"Kami berharap situasi ini akan berterusan sehingga tempoh pusat pengundian ditutup jam 5 petang nanti," katanya.