CARI PENYELESAIAN PROJEK TERBENGKALAI TAMAN REMBAU BAYU

Rabu, 13 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan pertemuan dengan pembeli rumah di Taman Rembau Bayu, Rembau pada minggu depan bagi mencari jalan penyelesaian masalah terbengkalai sejak lima tahun lalu.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Tuan Teo Kok Seong berkata, pihaknya sedang meneliti isu tersebut dan akan turut dibawa untuk pemerhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya berdasarkan rekod, projek itu membabitkan pembinaan sebanyak 39 unit rumah dengan 27 unit sudah dijual dan sepatutnya siap dibina pada 2015.

"Sebenarnya pada 2017, pihak KPKT ada usahakan untuk mengadakan perbincangan. Tapi pada masa itu, pemaju beri maklumat yang kurang tepat dan mereka juga berjanji mahu teruskan projek berkenaan.

"(Sekarang) kita sedang kaji cara nak bantu mereka (pembeli). Jadi saya harap, pembeli dapat bersabar buat masa ini.
 
"KIta akan aturkan pertemuan melibatkan pihak KPKT dengan pembeli dalam masa terdekat. Mungkin dalam minggu depan, bagi membincangkan cara untuk membantu pembeli dengan peruntukan sedia ada," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mewakili Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Seramai 27 individu kecewa apabila rumah yang mereka beli di Taman Rembau Bayu pada harga antara RM250,000 hingga RM320,000 didapati terbengkalai sejak lima tahun lalu.

Pemaju didakwa menghentikan kerja pembinaan, sebaik sahaja projek itu siap antara 60 hingga 80 peratus melibatkan blok rumah teres dua tingkat dan bumbung premis.