LIMA RUMAH TERJEJAS BANJIR KILAT

Selasa          13 November 2018          

13 nov 1-1.jpg

JELEBU: Hujan lebat selama tiga jam lewat petang kelmarin, menyebabkan banjir di Kampung Petaseh di sini sehingga menjejaskan laluan jalan raya utama dan lima rumah penduduk.

Penyelaras Dun Pertang, Osman Dusa berkata, bagaimanapun keadaan tersebut terkawal dengan bantuan anak muda kampung yang mengawal lalu lintas.

“Sebanyak lima rumah telah terlibat dalam kejadian banjir dan saya sempat ke lokasi yang mana saya kagum melihat anak muda Kampung Petaseh kawal lalu lintas.

“Keadaan lalu lintas pula agak sibuk susulan hujung minggu, kebanyakan orang hendak balik ke bandar untuk bekerja,” katanya.

Turut berada di lokasi kejadian Adun Ampangan merangkap Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Osman berkata, sebagai tindakan susulan, pihaknya telah meminta pihak berwajib membantu membersihkan rumah mangsa dan jalan yang dipenuhi lumpur.

“Bagaimanapun, bantuan awal telah dilakukan pada malam kejadian oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis, pasukan bomba dan penyelamat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di lima rumah terlibat.

“Turut bersama kami dalam memberi bantuan Pasukan Bomba Sukarela Pertang dan Majlis Daerah Jelebu,” katanya. – Sinar Harian