STESEN BAS TERMINAL 1 BAKAL DINAIK TARAF

Khamis, 13 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Mohd Zamzuri Daud

1/6

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mempunyai perancangan untuk menaik taraf stesen bas Terminal 1 di Jalan Sungai Ujong, di sini, kepada terminal bas yang lebih moden untuk keselesaan pengguna.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah penaiktarafan itu sememangnya dalam perhatian Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di mana kajian terhadap perkara berkenaan sedang dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, pihaknya tidak bercadang memindahkan terminal bas terbabit ke lokasi baharu memandangkan kedudukan sekarang sudah cukup strategik dan hampir dengan kemudahan pengangkutan awam yang lain.  

"Itu merupakan mercu tanda (Seremban terutama bagi) mereka yang balik kampung dan menggunakan kemudahan awam. 

"Insya-Allah, kita akan pastikan kemudahan untuk masyarakat di Seremban dan Negeri Sembilan dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Mock Cheque dan Sijil Penghargaan Kepada Para Penaja dan Agensi Sempena Penganjuran Kindness Day: Larian Amal Cabaran Bukit Putus 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang, di sini. 

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook menyarankan agar stesen bas Terminal 1 dinaik taraf menjadi sebuah terminal bas yang canggih dan moden.
 

Walaupun terminal bas itu menepati syarat ditetapkan untuk beroperasi, katanya, keadaan infrastruktur dan sistem diguna pakai dilihat kurang memuaskan berbanding terminal bas di negeri lain.

"Kebanyakan terminal bas di negeri lain dah ada terminal moden dan baru, kecuali di Seremban.

"Terminal 1 dah beroperasi lebih 20 tahun. Maka dah sampai masanya untuk lihat bagaimana nak naik taraf stesen bas ini untuk dijadikan hab pengangkutan utama di Negeri Sembilan," katanya selepas mengadakan lawatan di terminal berkenaan, di sini.