TVET SEDIAKAN LEBIH 1,000 PELUANG PEKERJAAN

Sabtu, 13 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/9

SEREMBAN: Lebih 1,000 jawatan kosong dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ditawarkan menerusi Karnival Pekerjaan dan Pendidikan TVET Negeri Sembilan yang diadakan di sini, hari ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri komited dalam melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran selaras dengan jumlah pelaburan yang semakin meningkat.

"Rakyat kena dilengkapkan dengan kemahiran yang sesuai dengan industri di Negeri Sembilan.

"Pekerja berkemahiran adalah aset utama kepada industri.

"Sektor pembuatan merupakan sektor utama yang menjanjikan peluang pekerjaan, diikuti sektor perdagangan borong runcit," katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan pelaburan.

Antaranya memperkenalkan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 meliputi kawasan Seremban, Nilai dan Port Dickson.

Selain itu katanya, menerusi program ini juga dapat membantu pihak majikan mencari calon pekerja yang sesuai.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pekerjaan dan Pendidikan TVET Negeri Sembilan di Palm Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah YB Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, YB Tuan J Arul Kumar.

Program selama sehari ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dengan Kerjasama JobsMalaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS), di mana sesi temuduga terbuka turut diadakan pada hari yang sama.

Sebanyak 40 majikan menyertai karnival ini antaranya Samsung SDIEM, Recron, Pos Malaysia, Nilai Medical Centre, Daihatsu Perodua Engine Manufacturing dan lain-lain lagi.