INSENTIF KHAS JIKA SKUAD JANG LAYAK KE LIGA SUPER 2020

Sabtu, 13 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Wartawan Lokasi: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat

1/3

JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat memberikan insentif khas kepada Skuad Jang sebagai ganjaran, sekiranya mereka berjaya melayakkan diri ke Liga Super musim depan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya bercadang mengumumkan jumlah insentif berkenaan sebelum perlawanan menentang pasukan PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

"Walaupun kita tahu bahawa pemain-pemain kita (terdiri dalam kalangan) budak-budak muda, tapi beri keyakinan pada mereka. Saya yakin, mereka akan pergi jauh.

"Walaupun sasaran asal kita memang tak terlalu tinggi sebab tahun ini kita nak lihat mereka dapat (timba) pengalaman, tapi Alhamdulillah. Mereka ada peluang untuk ke Liga Super tahun depan.

"Ini merupakan satu hadiah kalau mereka dapat lakukan yang terbaik. Jadi saya minta semua rakyat Negeri Sembilan untuk turun (ke stadium) beri sokongan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Pentadbiran Daerah Jempol yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), YB Dato' Dr Razali Ab Malik dan Naib Presidennya, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani.

Skuad Rusa perlu meraih tiga mata penuh ke atas PDRM malam ini dan UiTM minggu depan, untuk kembali ke Liga Super 2020.