PENDIRIAN TEGAS KERAJAAN NEGERI TERHADAP PENANAMAN KETUM

Jumaat, 12 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat

1/3

JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan berpendirian tegas terhadap larangan penanaman ketum di negeri ini, selagi mana produk yang terhasil daripada tumbuhan berkenaan tidak mendapat kebenaran dari sudut perundangan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, dinyatakan dengan jelas berdasarkan akta sedia ada bahawa sesiapa yang menjual dan membawa produk berasaskan ketum merupakan satu kesalahan.

"Kita lihat juga di sini, ada port (pondok) untuk minum (air) ketum. Kita khuatir akan disalahgunakan. Mengenai khasiatnya pula, kita tak dapat maklumat (yang disahkan secara saintifik) lagi.

"Jadi selagi Kerajaan Negeri tak dapat maklumat bahawa (produk berasaskan) ketum ini dibenarkan (penggunaannya dari aspek perundangan), maka kita terpaksa bertindak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sebuah lokasi di Felda Lui Selatan, di sini, yang telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penanaman kira-kira 200 pokok ketum.

Sehubungan itu kata Aminuddin, kesemua pokok berkenaan telah dimusnahkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jempol manakala pondok yang dijadikan tempat untuk minum air ketum pula dirobohkan.

Menurutnya selain pokok ketum, tanah kerajaan berkeluasan lebih kurang 3 hingga 4 ekar itu turut ditanam dengan pokok kelapa sawit dan pokok getah.

"Kita dah minta penceroboh (terbabit) datang ke Pejabat Daerah dan Tanah Jempol untuk merayu bagi meneruskan penanaman kelapa sawit dan getah. Sebab kita tak nak hasil kerajaan hilang.

"Ini kawasan pertama (dikenal pasti diceroboh). Ada dua lagi kawasan yang masalahnya hampir sama. Kita akan pastikan tanah-tanah diceroboh ini dapat diputihkan.

"Caranya dengan mereka (penceroboh) menyewa semula tanah tersebut daripada Kerajaan Negeri," katanya.

Untuk rekod, kerajaan mengharamkan penanaman ketum secara komersial selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati daunnya mempunyai ciri dadah seperti ganja dan heroin.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2016 menegaskan, tindakan boleh diambil di bawah Akta Racun 1952 terhadap mana-mana peladang yang menanam pokok tersebut bagi tujuan komersial.

Mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan ketum pula tertakluk di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000; penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.