TIADA KENAIKAN TARIF AIR DI NS

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 13 Februari 2019 

1/4

SEREMBAN: "Tahun ini tiada kenaikan, tahun depan pun tiada kenaikan. Kita dah beritahu mereka (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) pun, kita tak berminat untuk naikkan," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas berhubung pendirian Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kadar tarif air domestik dan komersial di Negeri Sembilan, seperti sedia ada. 

Menurutnya, perkara itu diputuskan melalui hasil mesyuarat jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji cadangan kenaikan kadar tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada bulan lalu.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri juga akan cuba sebaik mungkin untuk mempertahankan kadar tarif berkenaan daripada sebarang kenaikan, demi kebaikan rakyat.

"(Memang) SPAN boleh mencadangkan (kenaikan kadar tarif air). Tapi di peringkat negeri, kita lihat kepentingan rakyat," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani serta Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Puan Nicole Tan Lee Koon.

Bulan lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar menyatakan, kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.