ATLET NS TERIMA DURIAN RUNTUH

Oleh: Mohd Amin Jalil         Khamis, 13 Disember 2018 

SEREMBAN: Seramai 149 pegawai dan atlet Negeri Sembilan menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri menyampaikan insentif berjumlah RM225,500.

Mereka membabitkan pegawai dan atlet yang beraksi di temasya Sukan Malaysia XIX, Sukan Asia dan Para Asia 2018.

Insentif bermula dari RM300 sehingga RM4,000 bagi setiap kejayaan yang dicapai pada temasya berkenaan. 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pemberian insentif kali ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah sebanyak RM185,900.


“Saya harap pada masa akan datang, lebih banyak pingat yang akan diperoleh serta lebih banyak rekod baru dapat

dicipta oleh atlet negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Negeri Sembilan di Sukan Malaysia XIX di Perak, Sukan Asia dan Para Asia 2018 di Indonesia, yang berlangsung di Dewan Perdana KRS di sini, petang tadi.

Hadir sama, Ahli EXCO dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr Razali Ab Malek.
 
Dalam pada itu, Aminuddin mahu atlet negeri ini teruskan usaha gigih bagi melonjakkan lagi nama negeri dan negara dalam temasya sukan di peringkat tertinggi pada masa akan datang.

"Bagi mereka yang belum pernah menerima sebarang pingat, diharap tidak berputus asa sebaliknya terus meningkatkan lagi usaha bagi meningkatkan lagi prestasi serta pencapaian.

“Anggaplah kekalahan itu sebagai titik permulaan bagi mencapai kegemilangan dalam bidang sukan yang diceburi dan terus berusaha mengharumkan nama negeri dan negara di persada sukan antarabangsa," katanya.

1/5