BERITA BAIK UNTUK RAKYAT NS DALAM BAJET 2019

Oleh: Mohd Amin Jalil         Khamis, 13 Disember 2018 

SEREMBAN: Banyak berita baik untuk kepentingan rakyat bakal diumumkan oleh Kerajaan Negeri pada pembentangan belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin depan.

 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, belanjawan 2019 negeri itu merupakan belanjawan yang mengambil kira kepentingan dan keperluan seluruh masyarakat.

 

Malah katanya, belanjawan itu adalah lebih baik berbanding belanjawan kerajaan terdahulu.


"Semua kita masukkan dalam satu belanjawan yang semua orang akan rasa bahawa kita terbaik daripada (kerajaan) terdahulu, kerana ia menjaga keseluruhannya

dan kita akan umum beberapa perkara.

 

"Insya-Allah, belanjawan ini yang akan memberi manfaat kepada masyarakat di Negeri Sembilan.

 

"Kita akan jaga kepentingan semua peringkat masyarakat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah termasuk belia, wanita, orang kurang upaya (OKU), penjawat awam, institusi adat dan lain-lain," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

 

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, penganugerahan pingat dan darjah kebesaran kepada mana-mana pihak atau individu adalah atas budi bicara Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

 

Beliau berkata, gelaran atau sebarang anugerah adalah hak Tuanku dan kepada siapa yang baginda hendak beri atau kurniakan merupakan hak baginda sendiri.

 

"Itu hak Tuanku. Sebagai rakyat jika kita diberikan kurniaan, kita harus menjunjung kasih kepada Tuanku.

 

"Kita tidak buat cadangan atau sokongan mana-mana individu, sebaliknya cuma menghantar nama dan ia terpulang kepada budi bicara Tuanku termasuk dari segi bilangan penerima.

 

"Rakyat harus faham dan kita tidak mahu perkara ini disalah tafsir dan jadi isu," katanya.

13 dec 1-1.jpg