OPTIMIS LAHIRKAN USAHAWAN TERNAK

Khamis, 12 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/3

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan optimis dalam melahirkan usahawan ternak kelompok komersil di negeri ini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Bakri Sawir berkata, usahawan merupakan antara pemain utama dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri mahu pun negara.

Menurutnya, pihaknya sedar akan cabaran untuk mengangkat industri ternakan menjadi elemen penting dalam usaha meningkatkan keberdayaan ekonomi berpendapatan tinggi.

Justeru beliau meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan agar meransang program pembangunan industri ternakan melalui jalinan hubungan akrab dengan usahawan terlibat.

"Saya menyeru kepada seluruh anggota JPV Negeri Sembilan untuk menghayati dan mematuhi panduan yang telah disasarkan.

"Kita (Kerajaan Negeri) juga mahu pastikan perkhidmatan veterinar sentiasa relevan dalam menyantuni kehendak masyarakat ternak," katanya.

Tambahnya, pengembangan veterinar kini dilihat sebagai satu inovasi perkhidmatan berbentuk proaktif dan preventif untuk menggalakkan pertumbuhan projek komersial dalam bidang penternakan.

"Kita (Kerajaan Negeri) letakkan harapan yang tinggi agar program (pengembangan veterinar) seumpama ini dapat menajamkan lagi kemahiran usahawan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Program Pengembangan Veterinar Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini, semalam.