KEMAS PERLU KOMITED LAKSANAKAN PERUBAHAN

Rabu        12 September 2018       

12 sep 3-1.jpg
12 sep 3-2.jpg
12 sep 3-3.jpg
12 sep 3-4.jpg
12 sep 3-5.jpg

SEREMBAN: Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri ini perlu mengamalkan prinsip
ketelusan, keikhlasan dan amanah ketika menjalankan tugas, sesuai dengan status mereka sebagai ejen perubahan.

Menteri Besar Tuan Haji Aminuddin Harun, berkata sebagai guru pendidikan prasekolah, kakitangan KEMAS mempunyai tanggungjawab yang besar dalam melahirkan generasi muda yang beriman, berakhlak mulia dan berketrampilan.

"Buat warga KEMAS, saya berharap anda dapat memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing kanak-kanak menjadi insan yang mulia.

"Sebenarnya, sejak saya dari kecil, tidak boleh dipisahkan dengan KEMAS dan saya amat mengharapkan mereka dapat terus komited memainkan peranan dalam memastikan aspirasi kerajaan untuk menuju ke arah perubahan yang lebih baik dapat dijayakan bersama.

"Anda semua adalah ejen kepada perubahan sikap ke arah kebaikan, kemajuan dan kecemerlangan masyarakat Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya kepada kakitangan KEMAS Negeri Sembilan yang berlangsung di Kompleks Komuniti Desa, Pantai petang tadi.


Menteri Besar menegaskan kakitangan KEMAS terutama guru pendidikan prasekolah perlu memastikan anak didik mereka berkualiti.

"Kakitangan KEMAS perlu ada niat untuk menyatuni umat bangsa Melayu supaya usaha membangunkan bangsa ini dapat dilakukan dengan sempurna dan berjaya.

"Perlu ada dalam jiwa kita ini untuk melahirkan umat yang baik.

"Ketika ini umat Melayu berdepan pelbagai masalah termasuk isu dadah, gejala sosial dan sebagainya.

"Rata-rata kita sering menyalahkan orang lain dalam isu ini kerana terlalu bersikap perkauman sedangkan kita lupa ia adalah tanggungjawab kita bersama," katanya.

Justeru, Aminuddin mahu kakitangan KEMAS negeri itu supaya dapat membuat perubahan demi untuk memastikan agenda membina umat Melayu yang berjaya dan cemerlang, dapat direalisasikan.