BELANJAWAN 2020 BERSIFAT MENYELURUH DAN KOMPREHENSIF

Sabtu, 12 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/1

SEREMBAN: Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam disifatkan sebagai belanjawan menyeluruh dan komprehensif yang meliputi segenap lapisan masyarakat.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, insentif yang memfokuskan kepada golongan susah itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membina semula negara. 

“Petani; penternak; nelayan; orang di Felda; Risda dan Felcra, semua dapat nikmat daripada belanjawan itu. Tak lupa juga di bandar dan desa, termasuk penjawat awam dengan kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA).

"Kita nampak bahawa pendidikan menjadi teras dalam bajet tersebut, (apabila sebanyak) RM64.1 billion diperuntukkan. 

"Kita juga melihatnya sebagai satu bajet komprehensif, di mana mereka yang memerlukan diberi keutamaan melalui penambahan insentif dan golongan yang menerima bantuan meningkat pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi. 

Menurutnya, beliau yakin usaha tersebut bukan sahaja menguntungkan rakyat, malah dapat meningkatkan pembangunan ekonomi negara. 

Mengulas mengenai Belanjawan Negeri Sembilan yang akan dibentangkan pada 22 November ini pula, katanya, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada perkembangan ekonomi selain pelbagai insentif lain yang dapat mengurangkan kos sara hidup orang ramai. 

"Kali ini kita memikirkan bagaimana untuk memastikan ekonomi negeri ini terus bergerak, agar menjadi salah satu negeri yang mempunyai potensi untuk dikembangkan. 

“Contohnya, kita akan tambah insentif yang membangunkan lagi usahawan, di samping beri bantuan kepada golongan sasar serta golongan yang memerlukan," katanya.