PESERTA DPA PERSIAPKAN DIRI MENERUSI INTRADE

Isnin, 12 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

Juruvideo: Muhammad Faiz Limat

1/4

SEREMBAN: Peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) dipersiapkan dengan submodul Inisiatif Transformasi Desa (INTRADE), sebagai persediaan menjadi pemimpin berkaliber.

Submodul berkenaan dijalani oleh setiap peserta DPA di daerah terpilih iaitu Port Dickson dan Jelebu.

INTRADE merupakan salah satu keperluan sepertimana ditetapkan dalam silibus, ketika mengikuti pengajian di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, program itu bertujuan untuk mengenal pasti keperluan dan kehendak masyarakat khususnya di luar bandar.


 

Sehubungan itu katanya, para peserta ditempatkan di rumah keluarga angkat masing-masing sepanjang tempoh dua minggu kajian dilaksanakan. 

"Saya percaya saudara dan saudari pastinya (akan) ambil peluang (untuk) tambah pengetahuan dan pengalaman melalui lawatan di beberapa lokasi menarik, kerana kedua-dua daerah ini mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. 

"(Maka) gunakanlah peluang ini untuk membentuk diri sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan disegani," katanya. 

Beliau berkata demikian pada program Sesi Dialog bersama Peserta Program DPA INTAN 2019 di Klana Resort, di sini, tempoh hari.

Menurutnya, peserta perlu mempersiapkan diri dengan ilmu di dada dan menyuntik nilai murni dalam diri masing-masing.

"Tampilkanlah contoh teladan terbaik dan ambillah kesempatan untuk berinteraksi dengan segenap lapisan masyarakat. (Orang) yang tua kita hormati, yang muda kita dekati.

"Teruskanlah kesinambungan usaha pemantapan perkhidmatan awam, kerana saudara saudari merupakan penyambung sebuah warisan perkhidmatan yang gemilang. 

"Saya harap, sepanjang penempatan keluarga angkat ini dapat bekalkan pengalaman dan pengajaran untuk memikul amanah serta melaksanakan agenda program pembangunan negara," katanya. 

Untuk rekod, program INTRADE berlangsung selama 10 hari sejak 29 Julai lalu melibatkan 205 peserta.