PENGILANG OEM PERLU PROAKTIF BANTU USAHAWAN

Isnin, 12 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/4

SEREMBAN: Pengilang berkonsepkan pengeluar produk tulen (OEM) diminta tampil untuk membantu golongan usahawan terutama usahawan luar bandar di negeri ini, secara proaktif.

 

Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Ismail Ahmad berkata, syarikat-syarikat besar mungkin boleh memberi lebih tumpuan terhadap segmen OEM berbanding hanya fokus kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR). 

"Sebagai contoh macam Proton, sebahagian alat ganti itu boleh diberi (tugas penghasilannya) kepada beberapa usahawan. Mereka buat (pengeluaran) secara kecil-kecilan.


 

"Begitu juga macam Ford (Motor Company) dan (General) Motors di luar negara, mereka guna lokal punya produk. Tapi usahawan yang terlibat mesti mengikuti kualiti dan standard (ditetapkan) syarikat tersebut," katanya.

Mengulas penerimaan pengilang OEM terhadap usahawan tempatan pula, katanya, penglibatan dua syarikat besar iaitu Sahabat Ikhtiar Retort Sdn Bhd dan OEM Kosmetik VNI Scientifik Sdn Bhd dilihat sebagai satu permulaan baik.

"Kita mulakan dengan dua (pengilang OEM) dulu. Mungkin daripada dua ini nanti, kita boleh ambil lima hingga 10 orang (usahawan). Jadi, dia (pengilang OEM) boleh buat.

"Mungkin dia (pengilang OEM) tak boleh ambil (usahawan) terlampau ramai. Tahun depan, kita tambah lagi (penglibatan pengilang OEM) jadi lima atau 10 (syarikat)," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Towards OEM: Food & Beverage dan Lifestyle yang disertai 60 usahawan di Klana Resort, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA Negeri Sembilan, Puan Bedah Mamat dan Penolong Pengarah Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan/Melaka, Puan Nur Hidayatul Akhmal Suhaimi.

Untuk rekod, program anjuran MARA itu merupakan salah satu inisiatif dalam membangunkan industri berkaitan makanan dan gaya hidup sihat kepada usahawan khususnya usahawan di Negeri Sembilan.

MARA telah bekerjasama dengan beberapa pengilang OEM di Negeri Sembilan untuk membantu usahawan dalam penyediaan produk secara OEM. Bantuan diberikan berbentuk khidmat nasihat dan penawaran perkhidmatan.