SGS KINI DIKENALI DENGAN NAMA BAHARU

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 12 Mac 2019 

1/6

SEREMBAN: Sekolah Menengah (SM) Sains Perempuan Seremban atau lebih dikenali sebagai Science Girls School (SGS) di Jalan Tunku Kurshiah, Sikamat kini dikenali dengan nama baharu iaitu SM Sains Tuanku Aishah Rohani.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan mengumumkan nama itu pada majlis pemasyhuran di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Nama baharu itu mengambil sempena nama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Berangkat sama ke majlis tersebut adalah dua anakanda Baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dato' Haji Pkharuddin Ghazali turut hadir.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani juga berkenan berangkat untuk melawat Galeri Tuanku Aishah Rohani.

SGS yang menggunakan tapak bangunan ditinggalkan oleh Kolej Tunku Kurshiah (TKC), memperoleh kelulusan untuk beroperasi pada 3 Ogos 2013.

Tuanku Aishah Rohani telah berkenan membenarkan penukaran nama baharu sekolah itu pada 26 Mei 2017.