BANGUNAN LAMA TERBIAR BAKAL DIBERI TUMPUAN KHUSUS

Rabu, 12 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bakal memberikan tumpuan khusus kepada bangunan lama yang terbiar di pusat bandar Seremban.

Menurut Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Tuan Haji Ismail Ahmad, bangunan sedemikian boleh mendatangkan pelbagai kesan tidak baik terhadap masyarakat sekeliling terutamanya dalam aspek keselamatan dan kesihatan.

Sehubungan itu katanya, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) digesa menggerakkan semula Jawatankuasa Bangunan Lama/Usang yang melibatkan beberapa agensi dan jabatan bagi menangani perkara berkenaan.

"Kita harap mana-mana bangunan lama yang boleh dipulihkan, dinaiktarafkan, dikekalkan dan mempunyai unsur sejarah, mungkin kita akan lakukan (langkah tersebut).

"Mana-mana bangunan lama yang dirasakan tak selamat, kotor dan mendatangkan kacau ganggu hingga jadi tempat tinggal serangga atau binatang liar, mungkin boleh dibersihkan atau diambil tindakan segera," katanya.

Mengulas lanjut, kata Ismail, bangunan lama yang terdiri daripada rumah kedai dan rumah persendirian itu dianggarkan berusia antara 80 hingga 100 tahun.

"Biasanya (bangunan lama terbabit) ada rekod di Majlis Perbandaran Seremban atau di Pejabat (Daerah dan) Tanah atau pun di PTG (Pejabat Tanah dan Galian).

"Sebagai permulaan, kita akan cuba gunakan kaedah paling lembut. Mungkin beri notis atau amaran, dan minta kerjasama kepada pemilik atau warisnya untuk membaiki serta menjaga bangunan mereka," katanya.  

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini.

Turut hadir adalah Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon.

Dalam pada itu, Ismail turut menyeru pihak swasta untuk terlibat sama dalam usaha memulihkan bangunan lama yang terbiar.

"Ini pengalaman saya semasa di Majlis Perbandaran Seremban. Dulu kita cuba nak memajukan, membersihkan dan juga mengecat (bangunan lama).

"Jadi mungkin melibatkan syarikat cat, menggunakan CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka untuk membantu mencantikkan (bangunan lama).

"Mungkin juga ada beberapa syarikat lain berkaitan. Misalnya dari segi (tajaan) perabot, lampu dan sebagainya. Ini terserah pada jawatankuasa untuk libatkan sebanyak mungkin syarikat korporat yang boleh membantu, termasuk individu," katanya.