CADANGAN MENGEMBALIKAN BAS AWAM BAHAU-KEMAYAN BAKAL DIPERTIMBANG

Jumaat, 12 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Wartawan Lokasi: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/6

JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan sedia mempertimbangkan permintaan orang ramai untuk mengembalikan semula perkhidmatan bas awam membabitkan laluan Bahau-Kemayan, di sini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, perkara itu akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk dikaji dan diperhalusi terlebih dahulu.

"Mengenai bas (henti-henti terbabit) kita akan bincangkan dengan Menteri Pengangkutan (YB Tuan Anthony Loke Siew Fook).

"(Permintaan) itu kita akan cuba (ketengahkan), insya-Allah. Kalau betul ada (keperluan), kita tiada masalah (untuk laksanakannya)," katanya.

Beliau turut meminta kepada pemohon supaya memberikan maklumat membabitkan anggaran jumlah penumpang yang memerlukan perkhidmatan itu.

"(Memang) kita terima banyak permohonan. Tapi kita nak lihat keperluan sebenar, (iaitu) berapa ramai yang gunakan perkhidmatan awam berkenaan.

"Kita tak nak bila dah disediakan esok, bas jalan seorang-seorang (tanpa penumpang). Sebab ini melibatkan duit rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Pentadbiran Daerah Jempol di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, di sini, pagi tadi.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; YB Puan Nicole Tan Lee Koon dan YB Tuan S Veerapan.

NS Daily difahamkan, perkhidmatan bas awam bagi laluan Bahau-Kemayan telah dihentikan sekitar pertengahan tahun lalu.