MB: UTAMAKAN PERSEKITARAN BERSIH 

Oleh: Mohd Amin Jalil       Sabtu, 12 Januari 2019 

SEREMBAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta memberi fokus kepada soal kebersihan di kawasan masing-masing sekali gus mahu usaha tersebut dijalankan secara aktif.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, dalam konteks membangunkan negeri dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, beliau mahu soal kebersihan ditekankan terutama di kawasan bandar dan perumahan selain perlu ada kerjasama dengan masyarakat.
 
"Saya lihat banyak perkara yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan terutamanya dari segi keindahan lanskap di kawasan awam. PBT juga perlu kreatif dalam membina lanskap yang menarik sekali gus dapat menaikkan imej bandar.

"Seiring dengan konsep Bersih, Muafakat dan Sejahtera, saya berharap kakitangan PBT sentiasa komited terhadap tugas dan usah malu untuk menimba ilmu daripada PBT negeri lain agar Negeri Sembilan terus maju dalam segala aspek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program gotong-royong bersama Ahli Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan kakitangan PBT itu di Taman Tasik Seremban dan Taman Orkid, di sini, hari ini.

 

Hadir sama adalah Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehudin.

Aminuddin berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam memastikan kawasan persekitaran di daerah ini sentiasa berada dalam keadaan terjaga.

Tambahan pula katanya, Seremban merupakan ibu negeri dan antara destinasi pelancongan.

"Justeru, saya berharap semua pihak dapat berganding bahu dalam memastikan soal kebersihan dan keindahan di bandar dan negeri ini diberikan keutamaan," katanya.

1/4